SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Negeri akan melaksanakan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat dan beberapa inisiatif lain bagi
memastikan kesinambungan bekalan air dibekalkan kepada pengguna.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pembenihan awan dijalankan seperti tahun lepas di
beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai bagi meningkatkan kuantiti sumber air.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya
tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air terbabit.
“Operasi pengepaman sudah bermula pada 8 Januari yang lalu dengan jumlah pengeluaran sebanyak 200 juta liter sehari (JLH). Jumlah
pengeluaran ini ditingkatkan lagi dengan berfasa daripada 10 kolam digunakan,” katanya dalam kenyataan media.
Zaidy berkata pelepasan air empangan bagi memastikan pelepasan dilaksanakan secara optimum dengan mengambil kira sumber air sedia
ada.
“Berdasarkan perkiraan sumber air sedia ada dan jumlah pelepasan maksimum tanpa hujan bagi setiap empangan, anggaran jangka
hayat takungan empangan sehingga ke tahap simpanan kritikal adalah 106 hari bagi Empangan Klang Gates, 80 hari bagi Empangan Langat,
220 hari bagi Empangan Tasik Subang, 189 hari bagi Empangan Batu, dan 229 hari bagi Empangan Semenyih.
“Manakala dengan pelepasan maksimum 1,200 JLH, Empangan Sungai Selangor dapat bertahan sehingga 134 hari dan Empangan Sungai
Tinggi selama 67 hari dengan pelepasan maksimum 1,000 JLH.
“Pengepaman air daripada Empangan Semenyih ke Langat yang dianggarkan 70 JLH untuk memastikan sumber air mencukupi bagi loji
pembersihan air (LPA) Sungai Langat dan mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air daripada Empangan Langat,” katanya.
Beliau berkata penyaluran air dari terowong Langat 2 ke Sg. Langat juga dilakukan bagi tujuan untuk memberdaya ketahanan Sg. Langat
untuk LPA Sg. Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11.
“Penyaluran sebanyak 300 JLH ini akan diaktifkan apabila kapasiti Empangan Langat mencecah 45 peratus dan seterusnya menyediakan
sumber air tambahan melalui dua kolam warta orang asli di kawasan Hulu Langat.
“Ia untuk kegunaan LPA Bukit Tampoi bagi memastikan kelangsungan bekalan air daripada loji itu serta mengelakkan pencemaran akibat
peningkatan parameter Mangan dan Ammonia di dalam sungai,” katanya.
Zaidy yakin Kerajaan Negeri dengan keupayaan takungan empangan mampu menyediakan sumber air mentah yang mencukupi sepanjang
musim kering yang bermula pada bulan Januari ini.
Katanya, hal itu kerana kapasiti empangan terkini menunjukkan paras lebih tinggi berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas.
Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi adalah merupakan empangan utama dalam pembekalan air di Selangor iaitu
meliputi 60 peratus daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Berdasarkan rekod, penggunaan air per kapita bagi rakyat di Negeri Selangor adalah pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari.
“Di seru pengguna mengurangkan per kapita penggunaan air setiap isi rumah. Ini adalah salah satu langkah memastikan kelangsungan
bekalan air,” katanya.
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor/
Kemaskini pada 2016-05-17 16:31:07 daripada PPTM_ICT