BANGI, 20 APR : Kesedaran masyarakat membangun dan mengukuhkan aspek sosial budaya Islam penting dan mampu melahirkan modal insan berguna khusunya untuk
Selangor serta Malaysia amnya.
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap dapatan dan hasil pembentangan Persidangan Antarabangsa Sains
Sosial dan Kemanusiaan 2016 (PASAK 2016) dapat dikongsikan kepada umum.

“Saya berharap segala pembentangan kertas kerja penyelidikan tercurah dalam persidangan ini tidak hanya dibatasi dinding-dinding bilik persidangan sahaja.
“Namun, segala teori dan dapatan serta konklusi persidangan seharusnya disampaikan kepada masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian.
PASAK 2016 dengan tema ‘Kesatuan dalam Kepelbagaian Untuk Mendepani Arus Globalisasi’ membincangkan isu-isu berkaitan sains sosial dan kemanusiaan terutama perihal
menghormati hak kemanusiaan seperti ditetapkan Islam berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Persidangan selama dua hari bermula 20 hingga 21 April itu berlangusng di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Majlis sama turut menyaksikan KUIS menjalinkan hubungan kerjasama pendidikan menerusi tandatangan perjanjian persefahaman (MoU) bersama Kolej Dar al-Hikmah (KDH).
Hadir sama, Pengarah PASAK 2016, Dr Norfaezah Mohd Hamidin dan Pemangku Rektor KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid.
Sumber dari : http://bm.selangorku.com/
Kemaskini pada 2016-05-17 15:32:54 daripada PPTM_ICT