SUBANG BESTARI, 7 MEI : Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan syarikat perbankan Malayan Banking Berhad (Maybank) bagi membantu rakyat Selangor
memiliki rumah pertama.
Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali, berkata RM20 juta diperuntukkan sebagai cagaran kepada pihak bank untuk memberi pinjaman pembiayaan pembelian Rumah Selangorku.

“Kita baru melaksanakan satu skim baru melalui kerjasama dengan Maybank. Oleh kerana kita tidak dapat memberi pinjaman secara total, kita letakkan sejumlah cagaran ke dalam bank
berkenaan.
“Kemudian pihak bank memberikan pinjaman kepada pembeli berkenaan dan ini berjaya kita laksanakan melalui peruntukan RM20 juta yang diletakkan di dalam Maybank,” katanya.
Beliau menjawab soalan pemberita berhubung inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri sekiranya pihak bank tidak meluluskan permohonan pinjaman untuk membeli rumah.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin menyarankan supaya bank melonggarkan syarat kelulusan pinjaman pembelian rumah khususnya kepada pembeli kali pertama.

“Kalau permohonan untuk mendapatkan pijaman terus digagalkan, kebimbangan kita apabila industri hartanah ini akan lumpuh dan memberikan kesan parah kepada ekonomi negara dan negeri.
“Justeru, Bank Negara perlu menyemak semula ketetapan ini supaya pembeli kali pertama dapat memiliki kediaman mereka sendiri,” katanya.
Sumber dari : http://bm.selangorku.com/
Kemaskini pada 2016-07-26 11:08:29 daripada FARAH